Tuesday, 17 May 2022

COLEUS/POKOK ATI-ATI

pokok ati-ati (2)
Pokok Ati- Ati




 Pengenalan

Pokok ati-ati sangat terkenal di Malaysia sebagai tanaman hiasan kerana mempunyai dua warna berlainan yang menyerlahkannya. Tumbuhan ini berasal dari kawasan tropika iaitu Asia, Australia, Filipina, Kepulauan Melayu dan Afrika. Pokok ati-ati mempunyai banyak khasiat dan manfaatnya yang tersendiri. Jom kita mendalami dengan lebih lanjut berkaitan pokok ini.


Ciri-ciri

Pokok ati-ati merupakan sejenis pokok hiasan yang cantik dan mempunyai daun yang unik dengan kombinasi satu atau beberapa warna. Warna yang terang dan ceria menjadi tarikan serta sesuai dijadikan tanaman landskap. Pokok ati-ati yang telah matang akan menghasilkan bunga kecil dalam satu jambak. Lazimnya bunga berwarna biru atau putih. Daun jenis ringkas, berbentuk bujur dan mempunyai tekstur daun yang agak kasar. Pangkal daun berbentuk bulat manakala bahagian apeks menirus. Bahagian margin pula bergerigi dan tidak sekata. Akar, daun dan batang ati-ati mempunyai kandungan saponin, manakala bahagian akar mengandungi flavanoid. Ketinggian pokok ati-ati sehingga tiga meter. Tumbuhan herba ini tumbuh secara menegak dan mempunyai banyak cabang.


Spesies

Terdapat 6 spesis utama pokok ati-ati yang sering dijumpai iaitu 

  • C. blumei,
  • C. amboinicus,
  • C. forskonii,
  • C. pumilus,
  • C. barbatus dan juga 
  • C. pumilla.

Ia juga turut dikenali sebagai ‘pokok nilam’ atau pokok ‘bangun-bangun’.

Kegunaan

Merawat Penyakit Asma

Penyakit asma boleh dirawat menggunakan beberapa helai daun ati-ati yang berwarna hijau dan secubit kapur sirih. Daun ati-ati perlu diramas bersama kapur sirih sehingga lumat dan disapukan pada dada sebelum tidur. Kaedah lain yang boleh digunakan ialah dengan merebus daun ati-ati bersama dua cawan air dan dicampurkan dengan sedikit gula batu.

Tanaman Hiasan

Kebiasaannya pokok ati-ati dijadikan sebagai tanaman hiasan kerana warnanya yang cantik dan pelbagai seperti warna hijau dan ungu serta campuran merah jambu dan hijau.

Merawat Luka 

Lazimnya daun ati-ati digunakan bagi merawat luka atau lecur akibat air panas. Daun yang matang ditumbuk sehingga lumat dan disapukan pada tempat luka. Ia perlu dilakukan beberapa kali sehingga luka sembuh.

Mengatasi Masalah Haid Dan Keputihan

Daun ati-ati yang telah ditumbuk sehingga hancur juga dapat mengatasi masalah haid yang tidak teratur dalam kalangan wanita. Di samping itu, jus daun ati-ati membantu masalah keputihan dan merawat dalaman wanita. Campuran daun ati-ati, daun inai, daun jambu batu dan akar tutup bumi yang direbus sehingga mendidih dan airnya diminum membantu mengecutkan rahim.

Merawat Batuk

Daun ati-ati membantu merawat batuk terutamanya bagi orang dewasa. Beberapa helai daun akan ditumbuk sehingga lumat dan dicampuri dengan air lalu ditapis dan diminum dua kali sehari.

Penanaman

Pokok ati-ati dibiakkan melalui dua cara iaitu melalui keratan batang dan jalaran akar. Keratan batang bunga ati-ati dipotong mengikut saiz 15-20 cm bergantung kepada spesiesnya. Kebiasaannya, ruas ditanam ke dalam tanah bagi mempercepatkan proses pembiakan. Tanah perlu dipadatkan untuk menyokong tumbesarannya. Ia memerlukan cahaya matahari yang cukup agar daunnya lebih cantik dan menyerlah.

Tumbuhan ini mempunyai batang dan daun yang lembut yang memerlukan air yang banyak bagi mengelakkan pertumbuhannya terbantut jika tanah kering atau kekurangan humus. Ketika kemarau, pokok ati-ati perlu disiram dua kali sehari bagi mengekalkan kelembapannya. Namun begitu, air tidak boleh bertakung kerana ia akan menyebabkan akarnya reput dan mati.

Tumbuhan ini memerlukan medium yang mengandungi bahan organik yang tinggi bagi membantu proses pertumbuhan dan pengakaran yang baik. Medium yang digunakan mengikut nisbah satu beg tanah bakar dan dua beg tanah kompos. Ia memerlukan baja kimia yang tinggi kandungan nitrogen sekurang-kurangnya dua minggu sekali bagi proses pertumbuhan pokok tersebut.

Pokok ati-ati yang telah matang akan menghasilkan bunga kecil dalam satu jambak dan setelah itu, proses mengeluarkan daun muda akan terhenti. Tumbuhan ini memerlukan air yang agak banyak dan memerlukan siraman dua kali sehari pada musim kemarau bagi mengekalkan kesegarannya. Namun begitu, tumbuhan ini memerlukan saliran yang baik dan perlu sentiasa diperiksa agar air tidak bertakung kerana ia boleh mengakibatkan akarnya menjadi reput.

Sumber : ( https://rootofscience.com/blog/2021/biologi/pokok-ati-ati-spesies-ciri-ciri-dan-kegunaan/   )









No comments:

Post a Comment

KELADI ULAR /BIRAH/ALOCASIA LONGILOBA

Keladi Ular/ Birah / Alocasia Longiloba Keladi birah hitam atau juga dikenali sebagai keladi birah kijang, birah kilang, keladi ular, kelad...